15 January 2019

Daulat Tuanku! Biodata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang Keenam


"Merafak ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah atas pemasyhuran Baginda sebagai Sultan Pahang,"



Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atau Sultan Abdullah Al-Haj (diputerakan sebagai Tengku Abdullah pada 30 Julai 1959 di Pekan, Pahang, Malaysia). 

Kehidupan awal



Tengku Abdullah telah diputerakan pada 30 Julai 1959 iaitu pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, Sultan Pahang IV. 

Paduka ayahanda baginda, Tengku Mahkota Pahang (kini Sultan Haji Ahmad Shah), merupakan paduka anakanda ketiga Sultan Abu Bakar dengan Raja Hajjah Fatimah. 

Paduka bonda baginda pula, Tengku Puan Besar (lalu Tengku Ampuan Hajah Afzan) merupakan paduka puteri kepada Tengku Panglima Perang dengan Tengku Seri Kemala. 

Baginda diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang, Persekutuan Tanah Melayu, tiga tahun setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I Tuanku Abdul Rahman. 

Baginda dipanggil "Lam" oleh kerabat terdekat baginda.

Baginda ialah paduka anakanda keempat daripada tujuh adik-beradik. Kakanda tertua baginda ialah Tengku Meriam. 

Baginda ialah paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah Sultan bagi negeri Pahang dan seluruh jajahan takluknya, seorang lagi putera ialah Tengku Muda Pahang.

Pendidikan

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St. Thomas, Kuantan serta di Sekolah Menengah St. Thomas, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sejak kecil lagi Baginda aktif dalam sukan seperti permainan hoki, bola sepak dan sepak takraw. Baginda pernah dipilih untuk mewakili sekolah, daerah dan negeri dalam permainan bola sepak.

Baginda melanjutkan pengajian tingginya di United Kingdom dengan memasuki Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School dari tahun 1975 hingga tahun 1978. 

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Davies College, London – Advance School selama dua tahun. Seperti mana-mana kerabat diraja di seluruh dunia, baginda turut memasuki Akademi Tentera Diraja Sandhurst selama dua tahun juga. 

Baginda dianugerahkan pangkat Leftenan Muda oleh Ratu Elizabeth II. Pada tahun 1981, baginda menuntut ilmu di Worcester & Queen Elizabeth College dengan mengambil Hal Ehwal Luar Negeri & Diplomasi.

Pewaris takhta

Setelah keputeraan baginda, Tengku Abdullah berada dalam kedudukan kedua dalam susur galur pewarisan takhta Pahang, melewati paduka ayahanda saudaranya, Tengku Ibrahim dan dibelakang paduka ayahandanya yang merupakan Tengku Mahkota. 

Apabila paduka nenda baginda pada tahun 1974 dan paduka ayahanda baginda menaiki takhta, Tengku Abdullah menjadi pewaris pertama kepada takhta singgahsana kerajaan negeri Pahang.

Tengku Mahkota

Pada 1 Julai 1975, baginda telah dilantik menjadi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya telah dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan. 

Sebelum diangkat menjadi sultan, bagindalah pemegang gelaran putera mahkota kedua paling lama hampir 44 tahun dalam kalangan pewaris takhta di seluruh dunia hanya di belakang Charles, Putera Wales.

Pemangku Raja

Tengku Abdullah diangkat menjadi Pemangku Raja apabila paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selepas kegeringan ayahandanya, Tengku Abdullah secara rasmi memangku takhta negeri sebagai Pemangku Raja Pahang bermula 2017. Berikutan itu, baginda menghadiri majlis-majlis rasmi dan istiadat-istiadat istana bagi menggantikan ayahandanya.

Sultan Pahang ke-6

Pada 11 Januari 2019, baginda telah dlantik oleh Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Pahang ke-6 berkuat kuasa hari tersebut. 

Baginda kemudian secara rasminya dimasyhurkan pada 15 Januari 2019 sebagai Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dalam Istiadat Pemasyhuran di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Kerabat

Tengku Abdullah berkahwin dengan puteri ketiga Sultan Johor, Sultan Mahmud Iskandar, iaitu Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene. Baginda mempunyai lima cahaya mata bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah; tiga putera dan dua puteri.

Baginda berkahwin buat kali kedua dengan Cik Puan Julia Rais yang merupakan bekas pelakon Malaysia dan mempunyai tiga cahaya mata; kesemuanya puteri.


DAULAT TUANKU! 

Sumber : Wikipedia 

1 comment:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!