09 March 2021

[MUDAHNYA MELAKUKAN KEBAIKAN]



.

3 amalan kebaikan mudah yang kita boleh lakukan.

.

1) Bantu meringankan beban orang lain

.

Sebagai contoh, setelah kita selesai menjamu selera di restoran-restoran, kita bantu pekerja-pekerja di situ mengemas meja, mengasingkan sisa makanan, mengasingkan pinggan dan gelas, mengelap meja dan sebagainya. Perkara-perkara ini nampak mudah dan sebenarnya memang mudah, tetapi kita masih terasa berat untuk melakukannya. Sama-sama kita mulakan dan teruskan supaya semakin ramai orang akan melakukannya. Ingat pesan Nabi SAW:

.

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

.

Maksudnya: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." - (Hadis riwayat Muslim no. 1893)

.

2) Mengalihkan benda yang menghalang laluan

.

Selalu kita lihat terdapat serpihan-serpihan benda seperti ranting atau dahan pokok, botol dan sampah-sampah di tengah-tengah laluan utama. Kita bantu semua orang dengan mengalihkan objek tersebut ke tepi laluan utama atau membuangnya di tempat yang sepatutnya.

.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Iman terbahagi kepada 70 atau 60 cabang. Yang paling tinggi daripadanya adalah 'La Ilaha Illa Allah', yang paling rendah daripadanya ialah mengalihkan benda atau objek yang berbahaya di jalan, dan (ketahuilah) bahawa malu itu satu cabang daripada iman." - (Hadis Muttafaqun 'alaih)

.

Antara perkara lain yang kita perlu beri perhatian, jangan meletakkan kenderaan dengan menghalang laluan utama atau menghalang kenderaan orang lain. Sebagai contoh ketika solat fardu Jumaat, berapa ramai orang yang menunaikan solat Jumaat di dalam masjid tetapi di luar masjid mereka meletakkan kenderaan dengan menghalang kenderaan orang lain yang mungkin perlu keluar awal dan masuk semula ke pejabat dengan segera. Islam itu mementingkan hubungan dengan Allah dan juga hubungan dengan manusia. Jangan kita lupa.

.

3) Mendoakan orang lain tanpa diketahui

.

Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya. Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita. Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

.

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ

.

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)”. - (Hadis riwayat Muslim no. 4912)

.

Ayuh sama-sama kita melakukan kebaikan dari sekecil-kecil amalan sehinggalah sebesar-besar amalan kebaikan. Moga kita terus berusaha dan istiqamah untuk melakukan kebaikan.


3 comments:

  1. Terima kasih untuk perkongsian ni. Semoga kita terus menjadi manusia yang sentiasa membuat kebaikan :)

    ReplyDelete
  2. Perkara yang kita rasakan kecil je impaknya mungkin memberi makna yang besar kepada orang lain.

    ReplyDelete

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!