29 June 2021

{2:103}

 


وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ


"Dan hendaklah kalian berpegang teguh dengan tali Allah dan janganlah kalian berpecah-belah..." [Surah Aali Imran 103]


Islam membenci permusuhan. Islam membenci perpecahan. Islam menyukai perdamaian dan kasih sayang. Allah swt memerintahkan agar kita semua menjauhi permusuhan, jangan berpecah belah dan hiduplah dengan penuh persaudaraan dan kedamaian.


Rasulullah saw bersabda:


“Pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Maka akan diampuni semua hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, kecuali dua orang lelaki yang terdapat permusuhan antara dia dengan saudaranya. Maka dikatakan: "Tangguhkan oleh kalian kedua orang ini, sampai keduanya berdamai. Tangguhkan oleh kalian kedua orang ini, sampai keduanya berdamai. Tangguhkan oleh kalian kedua orang ini, sampai keduanya berdamai" (HR Muslim)


Orang yang bermusuhan tidak akan diampunkan oleh Allah (ditangguhkan pengampunan) sehinggalah mereka berdamai. Ini menunjukkan bahawa Allah swt sangat membenci mereka yang bermusuhan dan berpecah belah.


Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Tufail r.a, bahawa pernah tersebar pada zaman mereka berita tentang kemunculan Dajjal.


Ringkas ceritanya, untuk mendapatkan kepastian maka mereka pun pergi berjumpa dengan Sayidina Huzaifah bin Usaid r.a, beliau ialah sahabat Nabi yang lebih alim dan merupakan sahabat Nabi saw yang lebih senior.


Sayidina Huzaifah bin Usaid r.a menolak dakwaan tersebut dan ternyata cerita kemunculan Dajjal di Kufah itu ialah khabar angin yang dusta.


Kemudian Sayidina Huzaifah memberi penjelasan dengan katanya:


"Dajjal itu kalau keluar di zaman kamu nescaya kanak-kanak (kamu) akan melontarnya dengan batu. Tetapi Dajjal akan keluar apabila wujud kebencian di antara manusia, kurangnya pegangan agama dan buruknya hubungan sesama manusia (perpecahan). Dia (Dajjal) akan bebas bergerak ke mana sahaja dia mahu dan dibentangkan kepadanya bumi ini seperti terbentangnya kulit kambing (diraikan dengan hamparan permaidani merah)" (HR al-Hakim dalam al-Mustadrak)


Hadis ini memahamkan kita bahawa Dajjal tidak akan muncul sehingga timbulnya banyak permusuhan dalam kehidupan umat akhir zaman dan hilangnya ukhuwah dan kasih sayang sesama manusia.


♡ Hiduplah dengan kasih sayang dan perpaduan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt dan jangan sesekali berpecah- belah dan bermusuhan sesama manusia. Moga kita sentiasa diampuni Allah. Aamiiin ♡


SEMOGA BERMANFAAT 🥰



1 comment:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!