وَلَقَدۡ كَتَبۡنَا فِی ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ یَرِثُهَا عِبَادِیَ ٱلصَّـٰلِحُونَ
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh" [Surah al-Anbiya' 105]
Antara hamba-hambaNya Allah yang soleh yang akan memerintah bumi ini dengan penuh keadilan, kerahmatan dan kedamaian ialah Imam Mahdi. Sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaan kemunculan al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman.
Rasulullah saw bersabda:
"Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman" (HR Abu Dawud)
Sabda Rasulullah saw lagi:
"Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun" (HR Abu Dawud)
Hadis ini menjadi tanda penguat dari Rasulullah saw bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun.
Kata Samahah as-Syaikh Abd al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah:
"Beliau (al-Mahdi) adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib r.anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia".
Ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Nuaim al-Asfahani di dalam kitab al-Sa’ah Li Asyrath al-Sa'ah:
1. Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi saw.
2. Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa dan Nabi Isa akan solat di belakangnya
3. Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar
4. Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Berkata al-Allamah Imam Ibnu Khaldun dalam kitab Mukaddimahnya:
"Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya"
♡ Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana bumi telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini ♡
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!