SOALAN: Apabila seorang yang berbalut dahinya sebab luka adakah sah sujudnya kerana syarat sah sujud itu hendaklah dahinya terbuka tanpa berlapik ketika ia sujud?
JAWAPAN: Bermula syarat sah sujud itu hendaklah sujud dengan dahi ke lantai dalam keadaan dahi terbuka tidak berlapik dengan suatu seperti serban atau kain atau lengan baju dan seumpamanya.
Ada pun bagi seorang yang ada balutan pada dahinya sebab luka maka jika balutan itu boleh dibuka sekejap untuk bersolat maka wajib dibuka atau pun balutan itu tidak menutup sekelian dahi maka hendaklah ia sujud kenakan ke lantai bahagian dahi yang tidak tertutup itu.
Jika balutan itu tidak boleh dibuka dan balutan itu menutup semua bahagian dahi maka sah ia sujud dalam keadaaan berlapik dengan pembalut seperti itu sebagai satu kelonggaran baginya.
Dan jika tidak mampu kenakan dahi berbalut itu ke lantai sebab sakit maka memadai tunduk kepala sahaja ketika sujud.
Berkata Imam Taqiyudin Al-Hushni:
لو كان على جبهته جراحة وعصبها وسجد على العصابة أجزأه ولا قضاء عليه على المذهب لأنه إذا سقطت الإعادة مع الإيماء بالسجود فهنا أولى ولو عجز عن السجود لعلة أومأ برأسه فإن عجز فبطرفه ولا إعادة عليه والله أعلم
Maksudnya: “Jikalau adalah atas dahinya luka yang berbalut dan sujud ia atas pembalut itu maka sah ia dan tiada perlu qadha lagi atasnya atas pendapat mazhab kerana sungguhnya apabila tidak perlu qadha bagi yang sujud dengan isyarat maka masalah disini lebih utama lagi. Dan jikalau lemah seorang dari sujud kerana sakit hendaklah ia sujud dengan menundukkan kepalanya. Dan jika tidak mampu tundukkan kepala maka isyarat dengan gerakan mata adalah memadai dan tidak ada qadha atasnya.” [Kitab Kifayatul Akhyar]
Wallahua’lam
Kredit: @wnmuhdfirdaus
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!