17 June 2021

[Surah al-A'raf 187]

 


یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَیَّانَ مُرۡسَىٰهَاۖ قُلۡ إِنَّمَا عِلۡمُهَا عِندَ رَبِّیۖ لَا یُجَلِّیهَا لِوَقۡتِهَاۤ إِلَّا هُوَۚ 


Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia..." [Surah al-A'raf 187]


Kiamat pasti datang dan pasti berlaku. Waktu dan ketikanya hanya diketahui oleh Allah swt sahaja. Namun begitu, petanda-petanda kiamat telah didedahkan satu persatu. Oleh itu, pastikan kita sentiasa bersedia menghadapinya dan bersedia kembali ke negeri abadi yakni negeri akhirat. 


Di antara petanda hampirnya dengan kiamat iaitu masa atau waktu berlalu dengan pantas atau cepat.


Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi saw bersabda:


“Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan” (HR al-Bukhari)


Dalam riwayat lain, daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi saw bersabda:


“Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api" (HR at-Tirmizi)


Imam al-Nawawi menukil pandangan Syeikh Qadhi 'Iyadh dan selain daripadanya yang berpandangan maksud masa berlalu dengan pantas adalah disebabkan hilangnya keberkatan masa dan dalam sehari dia melakukan sesuatu yang bermanfaat kadarnya sama seperti satu jam sahaja dia melakukan perkara tersebut. (Lihat: Fathul Bari)


Disebutkan dalam Fathul Mun’im: "Di antara tanda-tanda Kiamat adalah masa terasa begitu pantas disebabkan hilangnya keberkatan (di dalam kehidupan), sedikitnya amalan untuk Akhirat, membuang waktu pada perkara yang tidak penting dan berfaedah sehingga tiada lagi nilainya serta ia (masa) berlalu seperti berlalunya awan yang mana tidak dirasai oleh seseorang akan umurnya seakan-akan dia tidak hidup melainkan hanya sementara di waktu siang".


♡ Pastikan 24 jam kita diisi dengan perkara yang bermanfaat, amal yang terbaik dan disibukkan dengan zikrullah. Jangan sia-siakan kesempatan yang ada kerana kita sudah berada di penghujung dunia dan sangat hampir dengan kiamat. Sibukkanlah beramal soleh!! ♡


Di antara petanda dekatnya kita dengan kiamat ialah banyaknya berlaku kematian secara mengejut atau mendadak. 


Daripada Sayidina Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi saw bersabda:


“Sesungguhnya di antara tanda Kiamat … akan banyak berlakunya kematian secara mengejut” **(HR at-Thabrani. Imam al-Sakhawi menilai dhaif tetapi saling menguatkan satu sama lain. Syeikh al-Albani menilai hasan)**


Dalam riwayat lain, daripada Sayidina 'Auf bin Malik r.a berkata, Aku pernah menemui Nabi saw ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda:


"Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu (antaranya):


1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba.... (HR al-Bukhari)


Menurut Syeikh Yusuf al-Wabil di dalam kitabnya, kejadian ini sudah dapat disaksikan pada waktu ini di mana banyak terjadi kematian yang mendadak kepada manusia. Seakan-akan kita menyaksikan seseorang yang dilihat sihat atau segar, tiba-tiba dia mati secara mendadak (atau tanpa disangka-sangka) yang sekarang boleh ditafsirkan seperti seseorang yang terkena serangan jantung. [Lihat: Ashrat al-Sa’ah]


Imam al-Khatib al-Baghdadi ada menukilkan satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Abu Abdullah Ahmad bin Ayyub:


“Peliharalah keutamaan rukukmu pada waktu lapang, disebabkan kematian boleh datang kepada kamu secara tiba-tiba, betapa ramai orang yang sihat dan tidak sakit, dirinya boleh pergi dalam keadaan yang sihat secara tiba-tiba" (Lihat: Iqtidha’ al-‘Ilm al-‘Amal)


♡ Bersiap siagalah sentiasa untuk menghadapi kematian kerana ia datang dengan mengejut, baik di jalanraya, di udara atau serangan penyakit yang mana seseorang itu akan mati secara tiba-tiba dan mengejut sedangkan sebelumnya sihat. Dan suasana ini juga menggambarkan petanda kita dekatnya dengan kedatangan kiamat. Tingkatkan dan siapkanlah sebanyak-banyaknya amal soleh dan pastikan kita sentiasa bertaubat!! ♡



SEMOGA BERMANFAAT



1 comment:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!