15 July 2021

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

 

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan


عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا  فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالُوْا: وَ فُلاَنَةً تُصَلِّى اْلمَكْتُوْبَةَ وَ تَصَدَّقُ بِأَثْوَارٍ وَ لاَ تُؤْذِي أَحَدًا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هِيَ مِنْ أَهْلِ اْلجَنَّةِ


Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, Cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka”. Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Dia termasuk penghuni syurga”. (Sahih Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrod: 119) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga atau neraka bukan hanya bergantung banyaknya amal fardhu dan sunat atau tidak.


2.  Ada orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, tetapi masuk neraka kerana mengganggu para tetangganya dengan lisannya (habis segala pahala kebaikannya)


3.  Ada orang yang hanya mengerjakan amalan yang fardhu seperti solat fardhu dan puasa Ramadan, sedekahnya sedikit namun masuk syurga kerana tidak pernah menganggu orang lain. 


4.  Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian dan fitnah termasuk yang ditularkan di media sosial seperti FB, Twitter, WhatsApp, Telegram dan sebagainya.


5.  Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pemfitnah dan pencela dalam surah al-Humazah

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ


Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela


a.  “Humazah” menurut Mujahid adalah pengumpat (termasuk cemohan dengan lisan dan ucapan). 


b.  “Lumazah” menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya 


Syed Qutb menyebutkan, ini gambaran manusia jahiliah dimana jiwa manusia yang lemah dan hina kerana tidak memiliki iman dan kehormatan diri, kerjanya mengumpat dan mencemoh.


Ingatlah bahawa pengumpat akan dihumban ke neraka al-Hutomah.


كَلا لَيُنْبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ (٤) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحُطَمَةُ (٥) نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ (٦) الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الأفْئِدَةِ (٧) إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُؤْصَدَةٌ (٨) فِي عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ (٩)


Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (4) dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (5) (iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan (6) yang (membakar) sampai ke hati. (7) Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka (8). (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang (9) (Al-Humazah)


Marilah kita pelihara ibadat fardhu dan bersungguh-sungguh menjaga lisan dan tulisan. Sesungguhnya dosa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang namun dosa tulisan berkekalan dan tersebar keseluruh dunia di alam tanpa sempadan ini.



No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!