01 June 2021

SOAL JAWAB AGAMA | 1 Jun 2021

 




SOALAN: Adakah diwajibkan seseorang itu ada wuduk kalau dia mahu membaca Quran atau berzikir?


JAWAPAN: Tidak diwajibkan mempunyai wuduk jika seseorang itu hendak membaca Quran dengan syarat ia tidak menyentuh Quran ketika membacanya.


Hanya diwajibkan atas yang ingin membaca Quran itu ia suci dari hadas besar seperti janabah atau haid.


Tetapi yang afdhal bagi yang mahu membaca Quran itu ia mengambil wuduk kerana dengan ada wuduk ia dapat menyentuhnya dan dapat pahala berwuduk. 


Tersebut pada kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniah:


قال في المجموع إجماع المسلمين على جواز قراءة القرآن للمحدث والأفضل أن يتطهر لها


Maksudnya: “Telah berkata Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ telah ijmak sekelian orang Islam atas harus baca Quran bagi yang berhadas kecil. Dan yang afdhalnya ialah bersuci ia (berwuduk) bagi membaca Quran.” Tetapi jika seorang yang tidak ada wuduk itu ia baca juga akan Quran maka ianya adalah harus tanpa makruh.


Berkata Imam Ghazali:


ولا نقول قراءة المحدث مكروهة


Maksudnya: “Dan tidak kami mengatakan membaca Quran tanpa wuduk itu makruh.” [Kitab Al-Basith]


Dan begitu juga dengan berzikir maka tidak disyaratkan seorang yang hendak berzikir itu mempunyai wuduk dan sekalipun atas orang yang berhadas besar seperti haid dan janabah.


Berkata Imam Nawawi:


أجمع العلماء على جواز الذكر بالقلب واللسان للمحدث والجنب والحائض والنفساء، وذلك في التسبيح والتهليل والتحميد والتكبير والصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم والدعاء وغير ذلك


Maksudnya: “Telah ijmak oleh ulamak atas harus berzikir dengan hati atau lisan bagi yang berhadas kecil atau yang junub atau yang sedang haid dan nifas. Zikir tersebut termasuk tasbih dan tahlil dan tahmid dan takbir dan selawat atas Nabi SAW dan berdoa dan yang lain dari yang demikian itu.” [Kitab Al-Azkaar]


Dan seperti mana membaca Quran maka adalah orang yang berzikir itu afdhal dalam keadaan bersuci dari hadas.


Wallahua’lam


Kredit: @wnmuhdfirdaus



No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sangat menghargai komen yang diberikan, jika komen itu tidak melanggar apa jua sensitiviti. Kalau ada pelanggaran, saya tidak akan teragak-agak untuk memadamnya tanpa menyiarkannya. Terima kasih!